BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

(Video) Pelancaran NGO Rakan Alam & Agrocare, Kempen Bantu Petani

LATASPelancaran NGO Rakan Alam & Agrocare, Kempen Bantu Petani

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melalui Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (Lantas) PAS Pusat akan bersama dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menggerakkan kempen membantu golongan petani di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata kempen bersama dengan NGOs yang terlibat secara langsung dalam bidang pertanian akan digerakkan.

Menurutnya, kempen agar kerajaan Malaysia membuat pertimbangan semula terhadap cukai import dan cukai jualan jentera pertanian.

Ini kerana, kata beliau bagi memastikan semua para petani yang berpotensi mampu memiliki jentera sendiri dan tidak bergantung kepada sewaan lagi.

“Kita (Lantas) akan adakan kempen supaya kerajaan Malaysia hari ini dapat mempertimbangkan semula cukai import dan cukai jualan jentera pertanian, untuk memastikan petani-petani kita ada kemampuan untuk memiliki jentera sendiri dan tidak bergantung lagi kepada jentera yang disewa.

“Dan dengan itu, mereka (petani) akan dapat melakukan kerja-kerja (pertanian) dengan lebih efisyen dan ekonomik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran NGO Rakan Alam dan Agrocare bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Restoran NRCafe, Tok Jembal, di sini, Selasa 28 Ogos.

Menurutnya, selama ini golongan yang kaya raya terbabit dalam sektor pertanian adalah pihak yang menyediakan jentera pertanian.

Berbanding, katanya dengan negara-negara maju lain jentera pertanian dimiliki oleh para petani itu sendiri.

“Petani kita terpaksa sewa jentera pertanian. Orang yang kaya raya dalam sektor pertanian ialah orang yang menyediakan khidmat jentera berbanding di negara-negara maju.

“Petani dia ada jentera sendiri dan seorang petani yang terpaksa sewa jentera dia hanya mampu buat dua ekar tanah. Tetapi, petani yang adaa jentera sendiri dia boleh buat 10 atau 20 ekar tanah, penggunaan mesin dan memungkinkan dia lebih efisyen dalam kerja-kerja pertanian,” jelasnya kepada 200 orang hadirin.

Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau negeri Kelantan, Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Terengganu, Ustaz Sharilzulkarnain Abdul Kadir.

 

Sumber: http://www.buletinonline.net/v7/index.php/kempen-bantu-petani/