BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Tahalluf Mesti Berprinsip: Mursyid Am PAS

*TAHAALUF MESTI BERPRINSIP*

Oleh : Tuan Guru Hj Hashim Jasin
Mursyid Am PAS
21 November 2016.

KERJASAMA adalah satu amalan mulia yang diperintahkan oleh Allah dalam kita menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah mafhum daripada perintah Allah dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud:

_“Dan bertolong-tolonganlah di dalam perkara kebajikan (menegakkan makruf) dan takwa (meninggalkan mungkar)”._

Salah satu kerjasama yang penting ialah kerjasama politik atau disebut “Tahaaluf Siyasi.” Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan contoh-contoh terbaik dalam melaksanakan kerjasama politik terutama dengan orang bukan Islam.

Ketika umat Islam diwajibkan bersatu padu di atas dasar Islam (hablillah), umat manusia secara umum diperintahkan supaya saling berkenalan (taaruf), yang menunjukkan perlunya ada hubungan kemanusiaan sesama insan.

Dalam sejarah, Tahaaluf yang berlaku dalam peristiwa al-Fudhul untuk menentang kezaliman,

Tahaaluf dengan Abu Talib untuk melaksanakan dakwah,

Tahaaluf dengan Muth’im bin Adi untuk memelihara keselamatan pendakwah,

Tahaaluf dengan Yahudi dalam Sahifah Madinah untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan Madinah dan tahaluf dalam Perjanjian Raidhwan dengan Quraisy untuk diadakan gencatan senjata, telah menunjukkan bagaimana keharusan dan prinsip dalam tahaaluf.

Adapun beberapa peristiwa Nabi Muhammad s.a.w. *menolak tahaaluf dengan Abu Lahab* untuk berkompromi tentang akidah,

*menolak tahaaluf dengan Bani Amir* kerana tidak mahu memberi komitmen untuk menyerah pemerintahan kepada orang tidak beriman dan

*menolak tahaaluf dengan Bani Syaiban* kerana mengelakkan gerakan Islam terjerumus ke dalam perangkap musuh, telah memberikan garis-garis sempadan dalam kita mengadakan hubungan atau kerjasama politik dengan pihak lain.

*Satu prinsip terpenting dalam tahaaluf siasi yang dilaksanakan ialah ia mesti memberikan keuntungan kepada Islam.* Mustahil kita melakukan sesuatu tahaaluf yang tidak menguntungkan, apatah lagi merugikan Islam Islam.

Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis riwayat Muslim dan Abu Daud dari Jubair bin Muth’im yang bermaksud:

_“Tidak ada tahaaluf dalam Islam dan setiap tahaaluf yang dibuat semasa jahiliyyah, maka Islam menambahkan kekuatannya”._

Maka dalam hal ini, saya gariskan beberapa prinsip asas yang mesti menjadi panduan setiap kali kita membawa cadangan untuk melakukan kerjasama politik.

*Pertama,* Islam hendaklah menjadi pemimpin dalam kerjasama politik. Tidak boleh sama sekali Islam dipimpin. Sesiapa yang mempunyai kecenderungan untuk bersama sama dengan PAS, mesti menerima PAS sebagai pemimpin.

*Kedua,* kerjasama mestilah dibuat atas dasar Islam. Dasar-dasar lain yang bercanggah dengan Islam tidak boleh diterima dalam kerjasama politik. Kita mungkin boleh bertolak ansur untuk menerima “persepakatan” dalam kepentingan bersama yang selari dengan Islam seperti menentang kezaliman, mencegah rasuah dan seumpamanya.

Tetapi kita tidak akan bertolak ansur untuk menggadai dasar Islam.

*Ketiga,* semua kerjasama yang dirangka mesti membawa keuntungan kepada Islam. Kerjasama yang terang-terangan merugikan Islam, mencabar kemuliaan Islam atau menentang Islam tidak akan wujud sama sekali.

Sebagai sebuah gerakan Islam, apabila kita mahu menjadikan tahaaluf sebagai satu srategi politik, maka kita mesti memastikan ia berjalan mengikut landasan syariat.

Tidak boleh kita berhujah semata-mata atas dasar _*“diluluskan oleh Muktamar.”*_ Kerana Muktamar PAS sendiri adalah terikat dengan sumber hukum PAS iaitu al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan al-Qias.

Segala keputusan Muktamar PAS yang bercanggah dengan sumber hukum atau pelaksanaannya yang menyanggahi sumber hukum, maka ia adalah terbatal dengan sendirinya.

Dalam konteks ini, setiap ahli PAS mesti sedar bahawa tahaaluf berdiri di atas beberapa syarat antaranya :

*membawa maslahat dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip;*

*mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan prinsip perjuangan;*

*tidak berwalak kepada sekutu pakatan dan tidak reda dengan pegangan mereka*

Pengalaman PAS dalam mengadakan tahaaluf sejak 1973 telah mewarnai pendirian kita dalam tahaaluf bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Kita telah bersama Barisan Nasional (BN) (1973-1977), Harakah Keadilan Rakyat (HAK) (1986), Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) (1988-1996), Barisan Alternatif (BA) (1998-2008), Pakatan Rakyat (PR) (2008-2015), dan kini kita memimpin Gagasan Sejahtera untuk menyatukan kekuatan pembangkang mengikut prinsip tahaaluf yang digariskan oleh Islam.

PAS sentiasa terbuka untuk menerima semua kumpulan Islam supaya bersatu di bawah Gagasan Sejahtera berdasarkan prinsip Islam. PAS juga boleh menerima mana-mana kumpulan bukan Islam yang bersedia untuk menerima kepemimpinan Islam, mengakui perjuangan Islam dan sanggup untuk bersama-sama mempertahankan Islam.

*Tidak ada ruang kerjasama bagi kumpulan yang menentang dan mengkhianati Islam!*

HARAKAHDAILY
21/11/2016