BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Serah Memorandum Masalah Rakyat

Serah Memorandum Masalah Rakyat

10 NOVEMBER 2016

image-1

Khairul Faizi (enam, kanan) menyerahkan memorandum kepada Mohd Nazrul bagi pihak Menteri Besar Johor.

 

 

ISKANDAR PUTERI – Kongres Rakyat Johor menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan masalah berkaitan rakyat khususnya melibatkan dua isu utama khususnya pengambilan tanah Felda Cahaya Baru, Masai dan nasib nelayan Gelang Patah.

Pengerusinya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, memorandum berkenaan bukan simbolik kepada bantahan sebaliknya ia adalah hasil keputusan daripada resolusi yang dijalankan pada 22 Oktober lalu.

Menurutnya, dua isu berkenaan dipilih untuk diberi perhatian oleh kerajaan negeri kerana ia melibatkan isu lama seperti masalah pengambilan tanah Felda Cahaya Baru yang telah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

“Memorandum ini bukanlah untuk bantahan, namun ia dicapai hasil pandangan diterima daripada perwakilan NGO sekali gus menyampaikan hasrat daripada rakyat kepada kerajaan khususnya Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) untuk membuat penelitian.

“Selain itu, dalam kongres berkenaan pelbagai isu yang disentuh untuk diberi perhatian manakala dua isu utama melibatkan Felda Cahaya Baru dan nelayan di Gelang Patah malah masalah ini turut dibentangkan oleh perwakilan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan memorandum kepada Mohamed Khaled dan diterima oleh Setiausaha Pembangunan Menteri Besar, Mohd Nazrul Abd Rahim di sini, semalam.

Khairul Faizi berkata, selain dua isu utama, masalah berterusan dihadapi rakyat yang turut disentuh dalam kongres berkenaan adalah isu air, fakir miskin, Felda, pembangunan dan perumahan, pendidikan, peniaga kecil, warga asing, pemandu teksi, agama termasuk isu pengguna.

“Kita menghantar memorandum ini untuk tindakan kerajaan sahaja sebaliknya NGO terlibat dalam kongres ini turut bersetuju turun padang untuk membantu menyelesaikan masalah khususnya yang telah berlarutan untuk diselesaikan segera.

“Sebagai contoh isu Felda Cahaya Baru telah berpanjangan sehingga kini malah sebahagian generasi pertama telah meninggal dunia. Isu ini telah dibawa semula oleh generasi kedua dan mengharapkan ada pihak yang dapat meneruskan perjuangan mereka.

“Isu nelayan Gelang Patah yang melibatkan kampung tradisi nelayan turut menerima kesan daripada pembangunan projek mega di kawasan itu dan menganggap ia tidak menyebelahi penduduk tempatan khususnya nelayan,” katanya.