BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Pertemuan Harmoni Pas-Gereja Katolik St. Anne’s

*PERTEMUAN HARMONI PAS – GEREJA KATOLIK ST ANNE’S*

Oleh SAFUAN UJAR

BUKIT MERTAJAM: Penerangan mengenai RUU Pindaan Akta 355 terus diperluas dan diberi pencerahan hingga merentasi segenap lapisan masyarakat termasuk kalangan bukan Islam.

Ketika sama merungkai salah faham yang masih berlegar dan menuntut sabar serta kebijaksanaan dalam penyampaian dilakukan.

Atas tanggungjawab dan peranan itulah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man telah meluangkan kesempatan bertemu Ketua Gereja Katolik St Anne’s, Bishop Dato’ Sabastian Francis di sini pada 22 Januari lalu.

Dalam pertemuan penuh harmoni yang turut disertai pimpinan PAS Pulau Pinang dan pentadbir gereja, Tuan Ibrahim telah mengutarakan usaha PAS untuk menaik taraf undang-undang tersebut menerusi pindaan di Parlimen.

Antara kebimbangan dan kekeliruan yang dijernihkan beliau termasuk kepastian serta jaminan bahawa Akta 355 hanya terpakai ke atas orang Islam tanpa melibatkan sama sekali orang bukan Islam.

Malah, pertemuan itu juga menjernihkan persepsi berlegar mengenai tuduhan hubungan PAS dengan Umno di mana tegas Dato’ Tuan Ibrahim, PAS konsisten menentang segala amalan korupsi dan salah urus negara.

Beliau dalam ulasannya berbesar hati dengan penerimaan pihak gereja untuk kunjungan tersebut dan berharap perbincangan antara agama sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Katanya, titik persamaan dan perancangan ke jalan kebaikan mesti diadakan sebagai usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam.

Terdahulu, Dato’ Sabastian dalam ucapannya mengalukan keterbukaan PAS mengadakan perbincangan dengan pihak beliau.

Dalam kesempatan itu, beliau mengajukan perhatian dan kepekaan pihaknya terhadap permasalahan golongan remaja, rasuah serta salah guna kuasa di kalangan pemimpin negara.

Sementara itu, wakil masyarakat India Kristian, Anthony pada pertemuan tersebut telah memaklumkan mengenai keraguan yang wujud terhadap Akta 355.

Akuinya, masyarakat bukan Islam bimbang undang-undang itu akan dikenakan juga ke atas mereka kerana perkara tersebut disebar menerusi media perdana yang ada.

Turut serta pada pertemuan tersebut adalah Ahli-ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pulau Pinang diketuai Pengerusinya, Amir Hamzah.