BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Penjelasan BPMS: Ciri 1 Politik Bertunjangkan Prinsip

SELF-CENTRIC DALAM ZAMAN MILENIUM SIRI 14: BERSAMA-SAMALAH DENGAN AHLI YANG BERPRINSIP BUKAN BERSAMA PEMIMPIN YANG POPULIS

Islam adalah agama yang tegas terhadap prinsip dan dasar. Perjuangan Islam tidak berubah. Malah, nas-nas al-Qur’an tetap dibacakan tanpa sebarang perubahan. Firman Allah s.w.t.

‎وَاتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِن كِتَابِ رَبِّكَ ۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِ مُلْتَحَدًا
(QS al-Kahfi 18: 27)

Maksudnya:
Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.

Ayat- ayat ini secara tegas menyatakan pendirian tegas terhadap Sekularisme, Liberalisme dan Populisme bahawa Islam pasti akan terus berpegang kepada dasar dan prinsip perjuangan Islam. Tiada prinsip Islam yang bakal diubah walaupun tindakan bertegas ini bakal mengakibatkan sokongan terhadap Islam berkurangan ataupun tidak.

Oleh demikian, jikalau pemimpin yang Populis dan mempunyai kuasa cuba mengapi-apikan kebencian terhadap Islam, prinsipnya dan dasarnya, hendaklah para pencinta agama bertindak balas dengan tidak mengendahkannya. Pencinta agama hendaklah bersama dengan golongan pencinta agama yang berprinsip dan menjauhi daripada golongan Populis yang mencintai dirinya sendiri a.k.a. Narsistik. Firman Allah s.w.t.:

‎وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
(QS al-Kahfi 18: 28)

Maksudnya:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Ayat ini meminta kepada pencinta-pencinta agama agar bersabar dengan golongan yang tidak mengingini dunia dan hatinya tidak terpaut dengan kemewahan. Ayat ini bermaksud golongan miskin yang tiada kepentingan perlu didekati sebagaimana golongan miskin bersama nabi Muhammad seperti Bilal bin Rabah, Ammar bin Yaser, Suhaib, Khabbab dan Ibnu Mas’ud.

Mereka ini adalah orang yang terawal masuk Islam di Mekah. Namun, mereka dipandang rendah dan jijik oleh pembesar-pembesar Quraish. Lalu, Uyainah bin Hasan al-Fazari mengejek nabi Muhammad yang selalu bersama-sama orang-orang yang tiada kedudukan. Uyainah juga mencadangkan kepada nabi agar mengutamakan kepentingan-kepentingan pembesar Quraish yang tentu sekali dapat membawa pembesar Quraish bersama Islam.

Pembesar-pembesar ini lebih berkedudukan dan popular dari Bilal, Ammar, Suhaib, Khabbab dan Ibnu Mas’ud. Jikalau kepentingan pembesar-pembesar Quraish ini dipenuhi, nescaya pembesar-pembesar ini akan masuk Islam dan Islam akan lebih gah dari sekarang. Itulah dakwaan Uyainah yang melihat populariti dan kuasa sebagai daya penarik.

Tetapi, firman Allah ini lebih didengari dari kalam Uyainah. Malah, nabi sentiasa terkenang golongan yang susah dan dipandang jijik ini apabila ayat ke-28 dari Surah al-Kahfi dibacakan. Nabi Muhammad memilih untuk bersama mereka yang lemah, bukan bersama pembesar-pembesar Quraish.

Sebenarnya, Islam tidak membezakan martabat yang tinggi mahupun yang rendah, kaya mahupun miskin, ahli mahupun pemimpin kerana kewajiban mereka sebagai hamba Allah adalah sama. Orang yang lemah di kalangan Muslim ini akan diutamakan hanya kerana keikhlasan tinggi yang ditunjukkan setiap pagi dan petang, siang dan malam, dan segenap musim senang mahupun sukar.

Mereka inilah yang Allah melarang kedua mata nabi Muhammad berpaling jauh dari melihat mereka. Malah, nabi Muhammad perlu bersabar bersama dengan golongan ikhlas dan berprinsip ini melebihi dari golongan populis yang sering mengintai-intai kuasa, kedudukan dan kekayaan semata-mata. Inilah juga arahan Allah s.w.t kepada Nabi Nuh a.s. sehingga pembesar-pembesar kaum berkata sebagaimana firman-Nya:

‎قَالُوا أَنُؤْمِنُ لَكَ وَاتَّبَعَكَ الْأَرْذَلُونَ
(QS al-Shu’ara 26: 111)

Maksudnya:
Mereka menjawab: “Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?”

Ada kewajaran keperluan bersama dengan orang-orang Salih dan berprinsip berbanding golongan Populis dan berkuasa. Golongan berprinsip adalah golongan yang mempunyai tempat di sisi Allah dan bakal bersama di Syurga. Berbeza pula kebersamaan bersama golongan Populis yang membinasakan agama dan jamaah Islam. Kedudukan mereka adalah jauh dari rahmat Allah dan dikhuatiri akan mengheret ke neraka.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

Sumber:
https://www.facebook.com/1DrAtiullah/posts/738548332988360