BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

(ARTIKEL) PAS Berjuang Untuk Kebaikan Semua

pjpahang_187_250PAS Berjuang Untuk Kebaikan Semua

 

Diterbitkan: 19 Julai 2016

Ditulis oleh YB Ustaz Rosli Abdul Jabar

 

Persepsi yang cuba diwujudkan ialah kebencian PAS kepada agama dan bangsa yang lain selain Islam. Bukan hari ini tetapi sejak dahulu lagi BN juga menggunakan kaedah yang sama.

PAS dilabelkan dengan label yang menakutkan, bukan sahaja bangsa lain selain Melayu malahan Melayu sendiri pun masih ketakutan untuk melimilih apatah lagi untuk menyertainya.

Namun PAS terus gigih mengharung cabaran dan halangan dakwah bersama keyakinan dan prinsip Islam, mengambil ruang didalam sistem demokrasi dan di dalam Negara yang mempunyai berbagai komuniti kaum yang bebas untuk beramal dan berbudaya mengikut agama masing-masing.

Semua bangsa bebas beramal dengan agama masing-masing, tiada halangan, PAS tidak pernah meruntuhkan gereja, kuil atau tokong, malahan hubungan baik antara pimpinan PAS dan pemuka-pemuka pelbagai agama berterusan hingga kini.

PAS tidak pernah menghina agama lain sebagaimana penghinaan membawa kepala lembu yang pernah dilakukan oleh sebahagian penyokong parti lain. Jika ada yang menghina, yakinlah itu bukan PAS, atau pun mereka hanya mengaku penyokong yang masih belum faham dengan prinsip Islam secara keseluruhannya.

Islam sama sekali tidak mengizinkan penghinaan terhadap agama lain begitu juga kezaliman, PAS berada di medan politik dengan menawarkan satu sistem yang paling baik untuk keseluruhan masyarakat dalam sistem demokrasi yang rakyatnya boleh memilih atau tidak tanpa sebarang hukuman.

PAS sangat yakin dengan dasar yang dibawa dapat merangkumi kebaikannya kepada seluruh kaum dan agama kerana Islam menghukum pesalah meskipun pesalah itu melakukan kezaliman terhadap orang yang bukan Islam.

Kami tawarkan sistem yang akan menyebabkan semua bangsa dan agama akan merasa aman berada disisi kami, sistem yang agar tiada umat Islam yang engkar kepada Tuhannya berani menzalimi orang-orang Cina, India, dan juga etnik-etnik yang lain didalam masyarakat Malaysia.

Gagasan politik matang dan sejahtera adalah gagasan mewujudkan agar rakyat Malaysia dapat hidup secara aman dan bebas berbudaya dan beragama dalam sistem yang ada dan Islam yang kami perjuangkan adalah untuk memperindahkan situasi tersebut supaya tidak ada keberanian untuk melakukan kezaliman sesama manusia yang pasti akan memburukkan suasana Negara.

PAS tidak pernah membenci mana-mana kaum, apatah lagi nak melanggar hak asasi mereka. PAS sebagai sebuah parti Islam hanya mengajak untuk melaksanakan sistem yang diturunkan Allah swt, tuhan yang menciptakan manusia dilaksanakan agar seluruh manusia mendapat keadilan dan keamanan dengannya.

Contohnya RUU 355 bukan untuk merombak sistem perundangan negara keseluruhannya, kerana Malaysia beramal dengan sistem dua mahkamah iaitu civil dan syaria’ah, ia hanya membaikkan sistem yang sedia ada didalam mahkamah syaria’ah yang sebelum ini tiada kena mengena dengan civil dan masyarakat bukan Islam.

Tak perlu takut dan bimbang, kerana sistem ini hanya untuk menakutkan umat Islam yang gemar minum arak, orang Islam yang gemar berzina dan juga gemar melakukan pelanggaran terhadap Islam yang menyebabkan penghinaan dan kerosakan kepada dirinya sendiri dan masyarakat.

Kecintaan kami kepada Islam yang menjadi dasar parti kami adalah manifestasi kecintaan kami kepada Negara Malaysia yang berbilang kaum.

Kami yakin keamanan, kedamaian, ketenangan dalam kehidupan bernegara berbilang kaum ini hanya diperolehi dengan rasa hormat menghormati dan bertoleransi dalam hak untuk hidup dalam agama masing-masing. Kami tegaskan orang Islam yang taatkan agamanya pasti tidak akan melakukan kezaliman terhadap sesama manusia meskipun berlainan agama.

YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Pahang