BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

MyHackathon ketengah idea pendidikan orang muda

image

SHAH ALAM, 9 Okt – Program MyHackathon anjuran Jabatan Professional Muda Pemuda Pas dapat membuka peluang kepada golongan professional mengetengahkan idea masing-masing dalam memperbaiki isu pendidikan negara.

 

Pengerusi Eksekutif Brainy Bunch Islamic Montessori Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, generasi muda masa kini tidak ada tempat untuk menyuarakan idea tentang isu pendidikan dalam negara ini.

Katanya, ketiadaan platform untuk menyatakan pendapat menyebabkan kurangnya penyertaan suara golongan itu dalam bidang pendidikan.
“Program MyHackathon adalah program yang sangat baik. Ia berfungsi sebagai platform bagi anak-anak muda untuk menterjemahkan idea-idea baharu yang boleh menembusi sesuatu pasaran di negara ini.

“Masalah kita sekarang adalah kurangnya peluang dan platform bagi generasi masa kini. Dengan adanya platform ini, kemungkinan akan terdapat idea yang dibentangkan pada hari ini dijual di pasaran,” katanya ketika ditemui Sinar Online selepas program berlangsung, di sini, hari ini.

Katanya lagi, dengan adanya pengalaman di MyHackathon, ia dapat menarik golongan muda untuk maju dalam bidang keislaman dan keusahawanan.

“Inilah yang sebenarnya kita perlukan. Generasi masa kini perlu sedar yang peluang perniagaan di luar sana masih luas,” katanya lagi.

 

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/myhackathon-ketengah-idea-pendidikan-orang-muda-1.571087