BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Menghayati Politik Matang

th2

Menghayati politik matang

 

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

 

Pepatah Arab ada mengatakan, “penduduk Mekah lebih tahu segala lorong dan lurahnya”. Maka kenyatan Dr Zakir Naik secara ikhlas perlu dilihat mengikut pengamatan kita sendiri, di samping kita menghormati keilmuannya dalam bidang perbandingan agama, dalam masa yang sama menunjukkan betapa beliau juga menjadi pengamat politik yang peka terhadap umatnya, menunjukkan beliau  seorang yang tidak memisahkan politik daripada agama dan dakwah.

Beliau bukan sahaja memahami perbandingan agama-agama dengan Islam, bahkan beliau memahami perbandingan Islam dengan Ideologi. Oleh kerana itu beliau mencadangkan kerjasama PAS dan Umno berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

 

PAS sudah lama meletakkan Al-Quran, As-Sunnah bersama Ijmak Ulamak dan Qias yang nyata menjadi rujukan tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan) PAS (Fasal 5). Bagi merealisasikannya secara kenyataan PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak yang bukan hanya mengiyakan semua keputusan PAS Pusat, bahkan boleh membatalkannya sekiranya menyanggah hukum tertinggi.

 

PAS telah berjaya melaksanakan politik matang sejak dahulu sehingga sekarang, menjadikan PAS tidak mencetuskan ketegangan dalam satu Negara, satu Ummat, satu Bangsa dan satu Masyarakat Majmuk, menjadikan PAS tidak terikut-terikut dengan parti-parti lain, termasuk Parti Islam di luar negara.

 

Mereka yang mengikut PAS secara tumpangan tanpa membaca sejarah dan menghayati dasar dan konsepnya, pasti terpelanting atau dicampak keluar daripada PAS.

 

PAS berpengalaman melaksanakan kerjasama dengan semua pihak, kumpulan Islam dan bukan  Islam, bersama kerajaan dan pembangkang, di peringkat negeri dan pusat.

 

PAS pernah meyertai persidangan APRO ASIA bersama UMNO dan beberapa perbincangan  di zaman penjajahan dan PAS bersendirian selepas kemerdekaan, bersama kerajaan campuran pada tahun 1973 dan bersama menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974 dan menyertainya sehingga 1979.

 

Semua pelaksanaan pendekatan tersebut dengan muzakarah para ulamak dan pimpinan di peringkat tertinggi mengikut perhitungan Islam dan politik. Kebiasaannya, pendekatan dan strategi dahulu tidak diulangi dengan cara yang sama, kerana perlu dipelajari segala kesilapan dan kelemahannya.

 

Amat penting bagi perjuangan Islam seperti PAS ialah memandu ummat dan negara, bukannya menjulang tokoh dan kumpulan tertentu. Terkini PAS mengambil pendekatan kerjasama dan membangkang secara terpilih dengan konsep “Ta’awun Siyasi” berpandukan konsep umum yang ditegaskan di dalam Al-Quran:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Bertolong menolong dalam perkara kebajikan dan taqwa dan jangan sekali-kali bertolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)

 

Maka, PAS menyokong cadangan meninggikan martabat Mahkamah Syariah, memperkasakan bahasa kebangsaan dan tidak menyokong pelaksanaan GST dan TPPA. Sepatutnya difahami  pendekatan ini. Pandangan Dr Zakir Naik adalah pengamatan secara ilmu dan prihatin terhadap umat yang wajib dihormati.

 

Adapun pelaksanaannya mengikut kewajipan, situasi dan realiti secara Fiqh Politik. Ini adalah sebahagian daripada cara poitik matang yang tidak jumud dan degil tanpa perhitungan. Politik mencari kawan sebanyak mungkin bukannya berlawan secara fanatik, walaupun politik  menjadikan alam ini harus berubah secara positif bukannya mustahil berubah. Politik mendahulukan perdamaian bukan suka berperang. Politik menerang lebih baik daripada menyerang.

 

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 23/4/2016

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php/headline/40906-menghayati-politik-matang

linkedintwittermailFacebook