BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Dialog Bersama Presiden Pengusaha Teksi Kereta Sewa WP&Selangor, Dato’ Aslah Abdullah

 

IMG-20160903-WA0021DIALOG DPPWP BERSAMA PRESIDEN PERSATUAN PENGUSAHA TEKSI DAN KERETA SEWA WILAYAH PERSEKUTUAN & SELANGOR 
Kuala Lumpur, 2 September 2016 – Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah mengadakan dialog bersama Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan & Selangor, Datuk Haji Aslah Abdullah semalam di pejabatnya. Objektif dialog tersebut adalah untuk mendengar dan mendapatkan penjelasan beliau berhubung kesan perkhidmatan Uber/GrabCar dan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) pertengahan bulan lalu.

Dialog hampir dua jam tersebut telah membincangkan banyak perkara penting antaranya mengenai aspek kawal selia dan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan Uber/GrabCar. Perkhidmatan teksi tertakluk kepada syarat pematuhan perniagaan dan akta, manakala Uber/GrabCar bebas, tiada kawalan dalam bisnesnya. Perkara tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengusaha teksi dan Datuk Aslah menganggap perkhidmatan Uber/GrabCar sebagai ‘Prebet Sapu’. Layanan tidak adil tersebut telah menyebabkan berlaku kerosakan dalam pasaran dan industri teksi.

Selain itu, SPAD juga telah mengenakan pelbagai syarat ketat sebelum dan selepas program transformasi sehingga menyebabkan ramai pemandu teksi tidak upaya untuk mematuhinya. Ini tidak termasuk kebajikan dan pendapatan mereka telah terjejas teruk sehingga sebahagiannya terpaksa berhenti dan mencari pekerjaan lain. Cadangan SPAD untuk mengeluarkan lesen individu dan pemberian geran wang tunai berjumlah RM 5,000 sebenarnya adalah cadangan ‘recycled’ yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Turut hadir bersama delegasi yang diketuai oleh Ir. Hj Khairil Nizam (Ketua DPPWP) adalah timbalan ketua, Saudara Nurul Islam Mohamad Yusoff dan setiausaha, Saudara Ubaid Akla. Hasil dialog ini, pihak DPPWP akan mengadakan kajian intensif, membuat beberapa cadangan penambahbaikan terhadap Program Transformasi Industri Teksi (TITP) dan akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak SPAD dalam masa terdekat. DPPWP juga menjemput Datuk Aslah untuk menghadiri Kongres Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan yang dijadual akan diadakan pada 25 September 2016 sebagai platform yang lebih efektif untuk membahaskan isu-isu yang melibatkan industri teksi. Setakat ini, beliau telah menyatakan persetujuan untuk hadir.

Catatan oleh: IR Hj KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan