BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Budaya Politik Matang & Sejahtera Mula Menampakkan Hasil

BPMS Mula Berbuah

Apabila PAS berjaya membentangkan Usul Persendirian di Parlimen Malaysia bagi meminda Akta 355 melalui YB Dato Seri Tuan Guru Presiden baru-baru ini, maka ia berjaya membuka helaian baru politik Islam di negara kita yang lebih putih dan bersinar.

Walaupun belum pasti nantinya menang atau kalahnya Usul Persendirian tersebut yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan kedudukan perundangan Islam di Malaysia secara umumnya, tetapi kita tidak perlu menunggu keputusan itu untuk terus meraikan kemenangan yang sudah di genggaman hari ini. Ia bukan kemenangan PAS. Ia kemenangan umat Islam seluruhnya yang diraikan secara besar besaran oleh PAS.

Siapa pun tidak boleh menafikan PAS sejak dulu memperjuangkan Islam dan syariahnya yang sempurna sebagai sumber utama perundangan dan nilai-nilai hidup bernegara. Kelantangan PAS dikukuhkan dengan konsistensinya berjuang untuk agama pada saat senang dan susahnya, kalah dan menangnya. Sedikit demi sedikit sokongan kepada usaha PAS semakin membesar dan mendapat perkenan rakyat terutama umat Islam sendiri.

Usul Persendirian tuan Presiden PAS berjaya dibentangkan di Parlimen ketika umat Islam seluruhnya bersatu padu menyatakan sokongan penuh untuknya dibentangkan. Justeru pembentangan RUU 355 pada hari bersejarah tersebut adalah begitu ditunggu-tunggu oleh semua.

Saya berani menyatakan usaha PAS tersebut mendapat sokongan sepenuhnya umat Islam adalah kerana ianya telah disokong dan digerakkan oleh tiga institusi utama yang terbina di dalam masyarakat iaitu orang UMNO, orang PAS dan NGO-NGO muslim. Adapun kewujudan bantahan daripada beberapa kelompok kecil umat Islam yang bersatu bersama kumpulan non muslim yang memusuhi Islam, maka ia adalah tertolak dan tidak dikira mewakili suara besar umat Islam.

Adalah mustahil bagi sebuah perjuangan menegakkan Islam untuk memperolehi sokongan konsensus hatta daripada kalangan umat Islam sendiri. Akan kekal wujud kumpulan yang leka dan dibuai kesombongan merajakan otak dan nafsu di hadapan syariah agama Allah. Ia penyakit umat yang perlu dihadapi seadanya. Kerana itu jugalah PAS, pada saat ia sentiasa menarik sokongan dan minat, ia juga akan sentiasa ditentang dan difitnah dengan bermacam-macam tuduhan bagi menidakkan peranan PAS sebagai pemacu utama membina kesedaran dalam masyarakat untuk kembali kepada agama.

Begitu juga kelompok non muslim. Mereka juga berhadapan kelompok daripada kalangan mereka sendiri yang begitu nyaring menyatakan sokongan terhadap pindaan Akta 355 ini seperti sayap DHPP PAS dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang menyatakan sokongan mereka secara terbuka. Masyarakat non muslim di Kelantan yang dilihat akan menjadi negeri pertama menerima pakai pindaan Akta ini juga tidak pernah menunjukkan kegusaran, bahkan menerima baik kesungguhan rakyat Kelantan untuk menerima pakai penambahbaikan di dalam undang-undang Mahkamah Syariah.

Kejayaan PAS melalui pembentangan RUU 355 tersebut secara langsung menenggelamkan fitnah besar yang cuba dicanang oleh musuh PAS bahawa PAS telah membiarkan dirinya ditipu dan diperdayakan oleh UMNO melalui umpan RUU 355. Bagi mereka, UMNO hanya mahu memecah-belahkan barisan pembangkang. UMNO sesekali tidak akan menyokong pembentangan itu. PAS dianggap terlalu naif dan terhegeh-hegeh menagih kuasa dan kemewahan daripada UMNO dan pemerintah yang zalim.

Ternyata telahan mereka salah dan fitnah mereka terpadam. Terbukti PAS bukan mudah dipermainkan. Dengan kecekalan PAS meneroka pelbagai kaedah dan laluan baru dakwah, walaupun pada awalnya PAS dilihat seperti akan terperangkap oleh pilihannya sendiri, hujung cerita akhirnya telah menjadi milik dan satu jawaban kukuh buat PAS.

Anda menyaksikan di hujung kisah, UMNO-lah yang kesukaran bagi memenuhi janjinya kepada PAS dan umat Islam. UMNO terpaksa berputih mata pada peringkat ini apabila gagal memperolehi sokongan rakan-rakan dalam BN untuk menyokong pindaan Akta ini. Sebagaimana pada awalnya PAS terpaksa membayar harga sebuah perjuangan mendaulatkan Islam dan memperkasakan Mahkamah Syariah dengan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat (PR), bahkan pergolakan di dalam parti sendiri, begitulah UMNO juga terpaksa kesakitan ditolak oleh rakan sendiri yang walaupun jauh lebih kecil kekuatan mereka. Demi menyelamatkan dan mengurangkan ketegangan di dalam BN, UMNO terpaksa menyerahkan kembali hak pembentangan RUU 355 kepada PAS. PAS menerimanya kembali dengan penuh izzah dan kekuatan. Tiada calar walau sedikit.

Kini nyata fitnah adalah fitnah. Ia padamĀ  apabila tiada angin yang bertiup bagi menyokong dan memanjang temponya. Jika RUU 355 adalah senjata UMNO untuk menipu dan merosakkan PAS, maka tiada perlu lagi UMNO menyokong RUU 355 ini. Pakatan Rakyat sudah pun lama pecah dan berkubur manakala PAS pun sudah bergolak besar sehingga tertubuh parti serpihan baru. Jika begitu, saat hasrat UMNO dah tercapai, soalnya mengapa UMNO masih memberi sokongan pada RUU 355?

Jawaban mudah ialah PAS tak boleh dan takkan mampu ditipu mudah oleh UMNO. Bahkan jawaban lebih tepat ialah PAS bukanlah pak turut kepada kehendak musuh agama Allah yang mahukan PAS mengubah hala tuju politiknya daripada menegakkan agama Allah kepada sekadar menjatuh UMNO dan menggantikannya dengan sesiapun tanpa pertimbangan syarak yang benar. PAS adalah bebas daripada sebarang ikatan selain ikatan agama. PAS sesekali tidak akan menipu rakyat apatah agamanya. PAS juga tidak akan mudah diperdayakan oleh sesiapa termasuk tukang fitnah yang mahukan PAS tunduk terhadap kemahuan mereka.

Pada saat api fitnah itu makin padam dalam bahang kepanasan dan kemarahan yang menggelegak di dada musuh-musuh PAS, mereka kini sedang berusaha menggerakkan fitnah baru bahawa PAS makan dedak UMNO melalui wang 1MDB. Mereka membakar sumbu fitnah baru itu dari kaki bangunan Parlimen Malaysia yang mulia. Alangkah jeleknya. Ia juga berlaku selepas fitnah 90 juta telah habis sumbu dan minyak gasnya.

PAS hakikatnya telah berjaya mengajar UMNO erti sebuah perjuangan. Perjuangan sebenar bukanlah pada mengekalkan kuasa dan pemerintahan. Ia bukanlah sekadar pada kejayaan menimbunkan perbendaharaan negara dengan kekayaan dan kemewahan. Bahkan perjuangan sebenar dan hakiki adalah perjuangan menegakkan agama dan mendaulatkannya di dalam negara sebagaimana berdaulatnya ia di sisi Allah Rabbul Jalil. Hanya dengan nilai-nilai ugama yang suci mampu menghidupkan jiwa umat ini dengan jati diri dan tindakan menuju kecemerlangan dan kejayaan.

Kredit harus diberikan kepada pendekatan terbaru PAS yang diperkasakan hikmat dan kesegaran dakwahnya melalui Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS). BPMS masih dalam peringkat pemantapan kefahaman setelah selesai peringkat pengenalan awal. Tetapi belum pun perlaksanaannya berjalan lancar, buah-buahnya sudah mula keluar dan berputik. Sesungguhnya Allah akan mengurniakan kepada kehalusan dan kelembutan kurniaan dan anugerah yang Dia tidak akan kurniakan kepada kekasaran dan kekerasan. Itu sabda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. BPMS adalah bukti kebenaran hikmat sabda nabi tersebut.

Tanpa bersembunyi, sebahagian ahli PAS sendiri sangsi dengan pendekatan BPMS ini yang dilihat terlalu lembut dan hilang taring. Bagi mereka, kekuatan PAS adalah pada taringnya. Jika taring tidak digunakan, PAS akan ‘moyok’ dan mencair.

Saya berkata, ya, ada betulnya. Tetapi taring diciptakan untuk daging dan makanan yang keras. Gigi-gigi lain dicipta dan tersusun lebih banyak mestilah juga lebih kerap digunakan. Jika PAS lahir untuk bermusuh dengan semua orang, maka hari-hari adalah taring yang menyeringai. Tetapi jika PAS dilahirkan sebagai kawan dan untuk bertujuan menyatukan, maka kuntuman senyum melirik susunan gigi hadapan adalah sudah mencukupi untuk menambah hati dan mencairkan segala kekerasan. Anda harus tahu BPMS adalah terjemahan kepada Islam yang datang kepada manusia dengan senyuman yang manis.

Taring adalah untuk musuh agama. UMNO dulu memusuhi agama dengan pelbagai tekanan ke atas pejuang dan perlaksanaannya. Hukum-hukum diperlekeh semudahnya. Sekolah-sekolah ugama dihukum sekerasnya. Para pejuangnya dihalau, ditangkap dan dipenjarakan. Siapa boleh menafikannya?

Hari ini siapakah yang terlebih memusuhi agama? Pada saat UMNO mula menyedari kesilapan mereka dan berusaha menyantuni institusi agama dan memberikan sedikit kelegaan bersyarat, lahir pula gerombolan musuh agama yang begitu lantang. Mereka menyeru kepada pemikiran liberal yang bermatlamat melarutkan Islam dan umatnya di dalam kehidupan bebas ala barat dan kekufuran.

Jika UMNO terlalu sempit dan kian terbuka, maka gerombolan ini pula terlalu luas dan ngangaan luasnya itu pasti menelan segala jiwa yang nipis iman dan akidahnya. Umat Islam mestilah diingatkan dengan bahaya yang semakin membesar ini. Ia semakin berani mencabar hak Islam dan umatnya di dalam negara. Umat Islam mestilah digoncang dengan peringatan yang kuat dan menusuk kalbu agar mereka keluar daripada kealpaan.

Nah, di sinilah taring PAS tampak dan berseringai. Anda perhatikan peringatan demi peringatan oleh presiden PAS tentang bahaya baru muncul ini. DAP yang memusuhi agenda Islam adalah pada garis yang pertama. Anak butir tahi PAP ini harus diperkenalkan sehingga ke akar umbinya. PAS telah diberi pengalaman menarik untuk bersama DAP dalam Pakatan Rakyat. Ternyata dalam usaha baik PAS mengajak DAP untuk lebih sederhana di dalam perjuangan mereka dengan menerima sifat Malaysia sebagai negara umat Islam, DAP berjaya melarutkan sebahagian otak pemimpin PAS untuk mentafsirkan Malaysia secara otak DAP. Akhirnya hubungan PAS dan DAP berakhir dan ranap dengan permusuhan melampau DAP terhadap Islam.

Justeru jika anda merasakan BPMS adalah hanya kelembutan, maka anda harus membaiki kembali kesilapan itu. Di dalam BPMS, ciri yang pertama adalah politik dasar dan berprinsip. Sentuhan buruk pada dasar PAS iaitu Islam akan menyaksikan taring dan geraham PAS meratah lawannya sehinggalah lumat dan lunyai. Selebihnya adalah kelembutan, kemanisan dan ajakan yang berterusanĀ  agar umat Islam terus menyokong agenda Islam di bumi Malaysia tercinta.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz

Ketua Pemuda PAS