BPMS. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

BPMS MELALUI RUU 355

*BPMS MELALUI RUU 355*

Usul Pindaan Akta 355 akan bersambung lagi di sesi Parlimen akan datang. PAS masih membuka ruang seluas-luasnya kepada masyarakat Islam dan bukan Islam dalam mendekati serta memahami dengan jelas berhubung RUU 355. Himpunan umat Islam akan terus diadakan untuk memperluaskan sokongan sepenuhnya dan dialog bersama non-muslim turut dijayakan sebagaimana kenyataan TG Presiden PAS kepada wartawan semalam.

Inilah Budaya Politik Matang Dan Sejahtera PAS dalam mengemudi bahtera ummah. PAS ingin menyelamatkan bukan setakat aqidah ummah namun mempastikan negara ini berada dalam keadaan aman dan harmoni. PAS juga berusaha untuk mengatur pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia agar digerakkan secara berhikmah dan melalui proses tadarruj atau berperingkat sekalipun mengambil masa yang lama. Proses ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tentangan mendadak dan dapat menyekat ‘Gejala Ahok’ berlaku di Malaysia.

Ada orang memperli dengan ditangguh pembentangan usul tersebut adalah suatu senggama politik PAS dan UMNO. Ianya ternyata keluar daripada mulut ahli politik murahan yang hanya melihat agenda memertabatkan hukum Islam sebagai agenda politik untuk berkuasa semata-mata. PAS sebagai sebuah parti dakwah, tarbiah dan siasah telah dan sedang mempersiapkan persediaan sebaik mungkin dan berkeyakinan usaha ini akan diberi nusrah oleh Allah pada tempoh yang ditentukan oleh-Nya. Ahli-ahli PAS diharap jangan keliru dengan keputusan dan tindakan pimpinan sebaliknya berilah sokongan penuh dan meletakkan thiqah yang tinggi kepada mereka. Allah Al-Musta’an.

*Asri eddiwanie*